Gaji RM3,000 layak dapat khidmat guaman syarie percuma: MAIS

Ahmad Shahir
Ahmad Shahir
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengubah syarat kelayakan untuk perkhidmatan bantuan guaman syarie secara percuma bagi kes mal di Mahkamah Syariah di Selangor.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, syarat diubah adalah berkaitan jumlah pendapatan kasar kepada RM3,000 ke bawah berbanding RM1,500 sebelum ini.

Menurutnya, dengan adanya bantuan guaman secara percuma berkenaan MAIS berharap dapat membantu lebih ramai masyarakat Islam khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) menyelesaikan kes mal di Mahkamah Syariah.

"Penyelesaian kes-kes kekeluargaan melalui bantuan guaman ini selaras dengan peranan MAIS untuk menyantuni golongan memerlukan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat Islam di negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain syarat kelayakan pendapatan, tambahnya, syarat lain melayakkan pemohonan ialah pemohon adalah warganegara Malaysia dengan melengkapkan borang permohonan disediakan dan lulus temu duga penilaian kewajaran kes.

"Antara jenis-jenis kes diwakili adalah permohonan cerai biasa, cerai fasakh, cerai khul’ (tebus talaq), cerai ta’liq, pengesahan lafaz cerai, pengesahan lafaz ruju’, poligami (hanya mewakili defendan sahaja), nusyuz, wali hakim, wali enggan, faraq nikah, pengesahan nikah dan pengesahan sah taraf anak, permohonan tuntutan kebenaran poligami (bagi defendan sahaja), tuntutan nafkah anak, tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan ubah perintah nafkah anak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAIS berharap masyarakat yang berkelayakkan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan dalam membantu menyelesaikan urusan berkaitan.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati melalui laman sesawang MAIS di https://www.mais.gov.my/bantuan-guaman-syarie-kategori-umum/, datang terus ke Kaunter Bahagian Undang-Undang Syariah, MAIS di Tingkat 6 Menara Selatan, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor atau hubungi talian 03-5514 3643.