Saksi pendakwaan tidak siasat sumber pendapatan Syed Saddiq

Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya. - Foto fail Bernama
Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa dia tidak menyiasat sumber pendapatan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menjalankan siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan ke-29, Asbi Munip berkata, siasatan tidak dilakukan kerana hanya tertumpu kepada pengeluaran wang menerusi dua transaksi masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Syed Saddiq ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya pada 16 dan 19 Jun 2018.

Asbi, 32, berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Gobind Singh Deo, saksi itu berkata, selain menjadi menteri kabinet, pihaknya mengetahui bahawa Syed Saddiq turut menerima elaun ketika menjadi tutor sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Gobind: Syed Saddiq pernah menjadi pensyarah debat bahasa Inggeris, jurulatih debat UIA dan kolumnis di beberapa portal media, tuan tahu?

Asbi: Tidak tahu, tidak ingat.

Gobind: Bukankah itu soalan asas bagi kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)?

Asbi: Saya hanya fokus kepada siasatan mengenai pengeluaran RM100,000 itu.

Gobind: Jika siasatan dibuka, sudah tentu SPRM minta maklumat mengenai pendapatan seorang suspek?

Asbi: Betul.

Gobind: Sedangkan pendapatan suspek adalah perkara pokok dalam sesuatu siasatan, tapi tuan tak buat?

Asbi: Betul.

Gobind: Menerusi rakaman percakapan pembelaan semasa siasatan dibuka, wang RM120,000 itu adalah bagi gantikan wang yang telah didahulukan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Betul atau tidak?

Asbi: Saya hanya menyiasat berhubung wang RM100,000.

Gobind: Semasa kempen, sudah tentu calon banyak perbelanjaan, contohnya untuk bayaran kakitangan, poster papan iklan.

Asbi: Tidak tahu.

Saksi berkenaan ditanya mengenai perkara tersebut, selepas menyatakan bahawa, terdapat empat transaksi kemasukan wang daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) berjumlah RM120,000 ke akaun Maybank Syed Saddiq.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan, Asbi berkata, terdapat pemindahan wang ke akaun ASB Syed Saddiq, namun tiada keterangan daripada saksi, dokumen atau resit perbelanjaan tunai mengenai perkara tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung 22 Ogos ini.