Kajian elaun sara hidup pelajar tajaan Mara dibentang ke kabinet

Mahdzir (tiga,kiri) melihat replika Express Rail Link (ERL) ketika melawat ruang pameran pada Majlis Penutupan Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi, pada Rabu. - Foto Bernama
Mahdzir (tiga,kiri) melihat replika Express Rail Link (ERL) ketika melawat ruang pameran pada Majlis Penutupan Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kertas kerja mengenai kajian kadar elaun sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan dibentangkan kepada kabinet hujung bulan ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, kajian berkenaan bukan sahaja melibatkan kadar elaun sara hidup pelajar di United Kingdom, Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan Jepun, bahkan turut membabitkan pelajar dalam negara.

Menurutnya, kajian dilakukan memandangkan ramai pelajar terkesan dengan kos sara hidup di negara tersebut yang membabitkan bekalan elektrik, air, gas, pengangkutan awam dan sewa rumah.

"Dahulu sewa rumah seorang boleh dapat (sekitar) £80 (RM434.99) ke £120 (RM652.42) seminggu, (tetapi) sekarang tidak boleh dapat harga begitu,” katanya kepada pemberita selepas penutup Program Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kebolehpasaran siswazah Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan profesional yang dilahirkan Mara berjaya mencapai hingga 94 peratus, sekali gus membuktikan siswazah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) memiliki ciri holistik dan kemahiran asas tinggi bertepatan kehendak industri.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Mahdzir berkata, lebih 1,500 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi disediakan oleh 10 syarikat kepada siswazah Mara dengan seramai 1,200 siswazah telah mendapat padanan kerjaya.

Beliau berkata, dianggarkan 3,000 pelajar dan graduan MARA hadir untuk mencari padanan kerjaya mereka sepanjang dua hari penganjuran program tersebut.

Program padanan kerjaya MARA yang merupakan sebahagian Agenda Keluarga Malaysia di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia memberi tumpuan kepada tiga program utama iaitu Inisiatif Pengajian, Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

"Anjuran program seperti ini adalah selaras dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran siswazah Bumiputera dengan mengurangkan masalah ketidakpadanan bidang pengajian dan skop kerja dalam industri.

"Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah dan saya percaya usaha berterusan MARA akan memastikan siswazah Bumiputera tidak tercicir dan mendapat pekerjaan mengikut bidang berdasarkan kelayakan," katanya. - Bernama