Mitigasi banjir: PAC panggil Kementerian Wilayah Persekutuan

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memulakan prosiding berhubung pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta.

Ia berikutan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1 yang merumuskan bahawa pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektif yang ditetapkan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pihaknya masih lagi tidak mempunyai tarikh untuk memanggil saksi daripada Kementerian Wilayah Persekutuan terbabit.

Menurutnya, saksi yang akan dipanggil adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

“Kebiasaannya saksi yang pertama akan dipanggil adalah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan dalam kes ini, kita juga akan memanggil menteri untuk memberikan keterangan berkenaan isu-isu yang berbangkit LKAN,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.

Menurut laporan LKAN 2021 Siri 1, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk yang belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyebabkan masalah banjir kilat belum dapat diatasi.

Selain itu, dilaporkan masih berlaku kejadian banjir kilat selepas projek mitigasi banjir dilaksanakan.

Kah Woh dalam masa sama turut memaklumkan bahawa PAC akan membentangkan laporan berhubung perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan pada Khamis.

“Laporan PAC setebal 250 muka surat ini tidak termasuk hansard prosiding dan dokumen pembentangan akan mempunyai beberapa pembaharuan dan penambahbaikan daripada segi kandungannya dalam memudahkan orang awam memahami isu-isu yang dilaporkan dalam laporan PAC,” katanya.