Kerajaan Kelantan teliti RUU Anti Lompat Parti

Mohd Amar (kanan) semasa ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Kelantan di Dewan Besar Balai Islam, Kota Bharu pada Rabu.
Mohd Amar (kanan) semasa ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Kelantan di Dewan Besar Balai Islam, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan meneliti semula Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang pernah diluluskan dan dibentang oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1992 lalu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, penelitian itu untuk melihat kelulusan yang dibuat sebelum ini boleh diguna pakai atau perlu mengemukakan RUU yang baharu.

"Undang-undang itu sudah ada, cuma kita tidak boleh laksanakan ketika itu apabila ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hilang kelayakan (melompat parti). Kes tersebut telah dirujuk ke mahkamah.

"Mahkamah telah buat keputusan enakmen yang diluluskan itu bercanggah dengan perlembagaan dan tidak terpakai. Jadi sekarang ini kita nak tengok dan akan buat kajian dari sudut undang-undang adakah kelulusan itu boleh digunakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Hududullah Peringkat Kelantan di Dewan Besar Balai Islam di sini pada Rabu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, setakat hari ini tiada sebarang keputusan lagi dan kerajaan negeri perlu melihat daripada sudut teknikal perundangan.

Beliau berkata, apa sahaja yang diluluskan oleh Parlimen akan diteliti terlebih dahulu bagi mengikut kesesuaian udang-undang tersebut.

ADUN Panchor itu memberitahu, kerajaan negeri akan merujuk perkara tersebut kepada Penasihat Undang-undang Negeri.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan kerajaan pusat yang meluluskan undang-undang tersebut.

"Keputusan itu selaras dengan pendirian Kelantan yang telah meluluskan undang-undang tersebut semasa di bawah kepimpinan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Pada Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dengan mendapat undi majoriti dua pertiga ahli dewan.

Sebelum ini pada 3 April 1992, Mahkamah Agung telah memerintahkan dalam kes DUN melawan Nordin Salleh bahawa kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Pas enakmen mengharamkan lompat parti adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah itu memutuskan bahawa undang-undang sedemikian melanggar Artikel 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan kerana ia menjejaskan hak untuk kebebasan berpersatuan.