Penetapan harga baharu minyak masak botol 5kg tindakan tepat

Mohamad Yusrizal
Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR – Harga baharu minyak masak dalam botol lima kilogram (5kg) yang akan dijual pada RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos adalah tindakan tepat kerajaan dalam usaha membantu rakyat yang tersepit dengan kenaikan harga barang.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Cake menyambut baik penurunan harga minyak susulan perlaksanaan harga maksimum minyak secara bulan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Katanya, penentuan harga minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual lebih RM42 kepada RM34.70 itu merupakan satu berita gembira kepada pengguna.

“Apabila harga minyak masak dalam botol naik sebelum ini, pengguna amat terbeban hingga mereka beralih kepada minyak masak peket untuk kegunaan harian.

“Bagaimanapun, bekalan minyak masak peket didapati kerap kehabisan di kedai-kedai berikutan mendapat sambutan ramai,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau mendapati minyak masak botol pula kurang mendapat sambutan disebabkan harga bahan mentah itu yang naik melambung hingga membebankan pengguna.

Katanya, penentuan harga maksimum baharu membolehkan peniaga dapat menjual bekalan minyak masak dalam botol manakala pengguna pula mampu membeli bahan mentah itu.

“Dengan penentuan harga maksimum itu, harga minyak masak botol 5kg akan turun lebih kurang RM7 dalam tempoh terdekat ini, sekali gus penurunan harga itu diharapkan berterusan demi membantu rakyat terkesan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Yusrizal berharap pengusaha kedai makanan juga dapat menurunkan harga makanan mereka susulan penurunan harga minyak masak itu.

Pada Isnin, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa menyatakan harga berkenaan ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik CPO diumum MPOB dengan harga RM4,063 bagi bulan Ogos.