Projek musang king tetap diteruskan: Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

BALING - Projek musang king di Hutan Simpan Kekal (HSK) Rimba Teloi, Sik akan diteruskan kerana telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun mengakui kemungkinan terdapat risiko sepertimana dilaporkan jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji kesan alam sekitar, namun setelah mendapat EIA, ia diteruskan.

"Saya baca laporan pada jawatankuasa yang ditubuhkan di Sik itu, mungkin ada risiko tapi kita harap tak ada lah.

"Kalau ada EIA pihak yang ada kepakaran ada autoriti dah kaji, sekiranya ada risiko besar, mungkin tidak dibenarkan (laksanakan projek) tapi mereka dah tanamkan, ada EIA (jadi) boleh tanamlah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mangsa Banjir Tragedi Kepala Air Lata Celak Kampung Iboi di Desa Keda Kampung Sadek di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi mendakwa gambaran HSK Rimba Teloi, Sik, digondolkan seperti laporan media sebelum ini adalah tidak tepat.

Jelasnya, hasil pemantauan terkini yang dijalankan jawatankuasa terbabit yang diketuai pegawai daerah Sik mendapati kawasan terbabit telah dilitupi dengan tanaman tutup bumi.

Projek penanaman musang king di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi Sik dibimbangi menyebabkan risiko kepala air seperti di Gunung Inas, Kampung Iboi, Kupang Baling Kedah.
Projek penanaman musang king di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi Sik dibimbangi menyebabkan risiko kepala air seperti di Gunung Inas, Kampung Iboi, Kupang Baling Kedah.

"Pegawai daerah dah tubuh jawatankuasa, dah bawa pergi melawat semua tempat-tempat yang berisiko, Sik (HSK) itu punya rupa bumi taklah tinggi macam Gunung Inas.

"Ia kawasan berbukit juga tapi tak tinggi sangat, jarak dengan kampung terdekat itu dua kilometer lebih,"katanya.

Selain itu Muhammad Sanusi mendakwa, gambar yang dipaparkan melalui laporan media, bahawa HSK telah digondolkan akibat projek penanaman musang king terbabit bukanlah gambaran sebenar.

"Bukanlah gondol macam gambaran (media), itu gambar lama... Ada gambar yang lebih baru pada itu," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan projek penanaman musang king di HSK Rimba Teloi, Sik berisiko berlakunya kepala air seperti mana kejadian di Gunung Inas, Kupang, Baling Julai lalu.

Kepala air di Kampung Iboi 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa akibat dihanyutkan arus deras selain lebih 12 buah kampung terjejas.