Khidmat asah pisau dapat sambutan

Muhammad Hafiz sedang mengasah pisau pelanggan menggunakan 'belt sander' di bengkel.
Muhammad Hafiz sedang mengasah pisau pelanggan menggunakan 'belt sander' di bengkel.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kreativiti seorang pemuda menawarkan khidmat mengasah pelbagai jenis alatan tajam seperti pisau, golok, kapak, parang, cangkul dan gunting berjaya menarik minat orang ramai menggunakan perkhidmatan tersebut.

Ia terbukti apabila Muhammad Hafiz Nasir, 25, tukang pisau dari Kampung Baram, Gelugor Kedai, di sini menerima hampir 100 bilah pisau untuk diasah pada hari pertama dia menawarkan perkhidmatan tersebut pada minggu lalu.

Muhammad Hafiz
Muhammad Hafiz

Menurut beliau, idea mengambil upah mengasah pisau tercetus selepas bapanya, Nasir Mohd, 57, juga seorang tukang pisau sering mendapat permintaan dari rakan-rakan dan penduduk kampung supaya membantu mengasah pisau mereka.

“Dari situ saya nampak ia ada potensi untuk dikembangkan sebagai perkhidmatan yang boleh mendatangkan pendapatan, lebih-lebih lagi sebagai tukang pisau, saya mempunyai kemahiran dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Selasa.

Muhammad Hafiz berkata, perkhidmatan ini mula ditawarkan pada Mei tahun lalu namun selepas beberapa bulan beroperasi, ia terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana mahu memberi tumpuan kepada pembuatan pisau bersama bapanya.

Bagaimanapun katanya, upah mengasah pisau itu dibuka kembali pada minggu lalu namun tidak menyangka akan mendapat sambutan baik dari orang ramai khususnya pengusaha kedai makan, peniaga, katering dan surirumah selepas diiklankan dalam media sosial.

Pisau yang diterima untuk diasah pada Selasa.
Pisau yang diterima untuk diasah pada Selasa.

“Menggunakan mesin ‘belt sander’ besar dan kecil, saya mampu mengasah kira-kira 200 bilah pisau sehari. Setakat ini, saya menerima lebih 70 bilah pisau untuk diasah setiap hari dengan upah antara RM1 hingga RM5 mengikut jenis.

“Buat masa sekarang, saya terima pelanggan dari sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sahaja dan semua pisau ini akan diasah di bengkel pembuatan pisau yang terletak di rumah ayah di Kampung Baram, Gelugor Kedai,” katanya.

Selepas diasah menggunakan 'belt sander' besar, pisau akan diasah pula menggunakan mesin sama yang bersaiz kecil.
Selepas diasah menggunakan 'belt sander' besar, pisau akan diasah pula menggunakan mesin sama yang bersaiz kecil.

Bapa kepada seorang cahayamata perempuan itu berkata, pelanggan tidak perlu datang ke bengkel untuk mendapatkan perkhidmatan ini kerana ada ‘runner’ yang akan mengambil dan menghantar pisau dengan caj antara RM3 hingga RM7 bergantung kepada lokasi.

Jelas Muhammad Hafiz yang turut mahir menghasilkan pisau, melihat kepada permintaan baik dari orang ramai, dia berhasrat untuk menawarkan khidmat mengasah pisau kepada pelanggan sekitar Marang dan Hulu Terengganu pula.

“Selain mengasah pisau, saya juga mengambil upah membaiki pisau yang sumbing, patah dan mengilatkan kembali dengan harga maksimum RM10 sebilah bergantung kepada jenis kerosakan.

“Harapan saya adalah untuk kembangkan lagi perkhidmatan ini ke seluruh negeri bagi membantu lebih ramai pelanggan yang berdepan masalah pisau tumpul, sumbing dan berkarat dengan caj berpatutan,” katanya.