Kuarters Hospital Baling, beberapa kampung dilanda banjir kilat

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memindahkan mangsa terjejas banjir pada Selasa.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memindahkan mangsa terjejas banjir pada Selasa.
A
A
A

BALING - Hujan lebat selama beberapa jam telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di kuarters Hospital Baling dan beberapa buah kampung di Jalan Kroh-Baling, di sini pada Selasa.

Berdasarkan video tular di media sosial, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7.30 malam selepas tebing Sungai Baling dilimpahi arus deras.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo mengesahkan berlaku limpahan air ke kawasan hospital melibatkan beberapa unit kuarters, bilik persalinan dan Taska Hospital Baling.

Menurutnya, air dikatakan mula naik pada jam 8.30 malam Selasa, namun tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan.

"Berdasarkan status semasa, air mulai surut secara perlahan dan kerja-kerja pembersihan akan dijalankan malam ini serta pagi esok," katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Dzulhaidy Khalil berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah dan Dewan Tun Abdul Razak bagi menempatkan mangsa terjejas.

Difahamkan, beberapa buah kampung termasuk Kampung Batu Tujuh Rambong, Charok Juan dan Telok Sanau mula dilanda banjir sejak hujan lebat jam 5 petang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa dipindahkan masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat menasihatkan penduduk berjaga-jaga dan berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kemungkinan air naik mendadak.

"Penduduk diingatkan jangan tunggu sekiranya keadaan membahayakan dan segera berpindah untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi.