Eksekutif wanita rugi RM428,000 dijerat 'jurutera petroleum'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita kerugian RM428,000 akibat terlalu percaya dengan 'kekasih' mayanya di media sosial yang mendakwa bekerja sebagai jurutera petroleum.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang bekerja sebagai eksekutif akaun berusia 41 tahun itu mendakwa telah berkenalan dengan suspek lelaki warga asing di Facebook pada Ogos 2021.

Menurutnya, perkenalan itu kemudian berterusan melalui aplikasi WhatsApp suspek yang menggunakan nombor telefon antarabangsa.

"Sepanjang tempoh perkenalan itu, mangsa langsung tidak pernah berjumpa dan suspek telah meyakinkan bahawa dia bekerja sebagai seorang jurutera petroleum yang mempunyai syarikat petroleum di Singapura.

"Pada bulan Oktober, suspek telah mengatakan syarikatnya mempunyai masalah kewangan lalu meminta pertolongan daripada mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM5,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Katanya, disebabkan atas dasar percaya, mangsa telah membuat 47 kali transaksi pembayaran berjumlah RM428,000 ke dalam empat akaun bank berbeza.

"Mangsa sedar ditipu apabila memaklumkan perkara itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis pada Isnin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan setiap perkenalan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji manis sahabat alam maya itu.