JAS kompaun 17 motosikal kerana bunyi bising

Anggota JAS Terengganu memeriksa sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi bersepadu selama dua hari bermula Ahad lalu.
Anggota JAS Terengganu memeriksa sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi bersepadu selama dua hari bermula Ahad lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengeluarkan 17 kompaun kepada pemilik motosikal atas kesalahan gagal mematuhi had pelepasan maksimum bunyi bising yang dibenarkan.

Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd Rahman berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 4 (2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had yang dibenarkan.

Menurut beliau, satu notis arahan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan atas kesalahan yang sama.

"Operasi Bersepadu Bunyi Bising Kenderaan Motor selama dua hari bermula Ahad lalu ini melibatkan Unit Kenderaan Bermotor (UKB) JAS Terengganu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.

"Sepanjang operasi ini diadakan, ratusan motosikal pelbagai kategori telah disaring dan diperiksa dengan 30 motosikal menjalani ujian visual manakala 18 motosikal lagi menjalani ujian meter sebelum mengeluarkan 17 kompaun," katanya di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Ramli menasihati pemilik motosikal supaya sentiasa memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan yang baik serta mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Bermotor) 1987, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pematuhan peraturan itu penting bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap pemilik yang ingkar.

Jelas beliau, terdapat had paras bunyi bising maksimum yang dibenarkan bagi motosikal dengan kaedah pengujian secara statik atau pecutan bebas atau ‘free acceleration’.

"Had bunyi motosikal dengan keupayaan enjin kurang daripada 90cc adalah 92dB(A), manakala bagi 90cc ke atas adalah 95dB(A).

"Pemilik kenderaan yang didapati melepaskan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000,” katanya.