Rampas rokok seludup bernilai RM1.2 juta

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan rokok tidak bercukai yang dirampas daripada tiga MPV pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, pada Selasa.
Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan rokok tidak bercukai yang dirampas daripada tiga MPV pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang, pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam merampas 4,000 karton rokok dianggar bernilai RM400,000 selepas menyerbu tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di Jalan Kluang-Paloh di sini pada 25 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan tersebut dilakukan pegawai dan anggota PGA Batalion 5 pada jam 12 tengah hari dan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

"Tiga MPV berkenaan iaitu Proton Exora warna emas, Toyota Vellfire dan Toyota Alphard yang kedua-duanya berwarna putih diletakkan di kawasan sunyi di jalan itu dipercayai untuk aktiviti pemunggahan sebelum dihantar ke kedai runcit.

"Hasil pemeriksaan pihak polis menemukan 80 bungkusan warna coklat diletakkan di bahagian belakang kenderan tersebut yang mengandungi rokok tidak bercukai," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini pada Selasa.

Katanya, rokok itu dipercayai untuk dijual di kedai-kedai runcit sekitar daerah ini dengan harga antara RM7 hingga RM10 berbanding harga biasa RM18.

Kejayaan rampasan tersebut katanya, merupakan risikan dan siasatan dilakukan pihaknya sejak dua bulan lalu.

"Keseluruhan nilai rampasan membabitkan rokok, nilai cukai rokok dan tiga kenderaan tersebut RM1.2 juta," katanya.

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1) dan Seksyen 35(1)(c) Akta Kastam 1967.