CEO syarikat pelaburan didakwa tipu babit RM100,000

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) di sebuah syarikat pelaburan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu dengan menjanjikan keuntungan hibah membabitkan RM100,000 pada 2020.

Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, yang didakwa di dua mahkamah dituduh melakukan perbuatan itu di kawasan Perusahaan Perai, Seberang Perai Tengah, di sini antara 19 hingga hingga 23 April.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen pertama, Abdul Wahab didakwa atas dua pertuduhan iaitu memperdayakan Ng Beng Huat dan Chan Ooi Cheng sehingga masing-masing mendepositkan RM30,000 dan RM50,000 ke dalam akaun bank atas nama Green Age Solar Technolody Sdn Bhd bagi mendapat keuntungan hibah.

Hakim Noor Aini Yusof membenarkan Abdul Wahab yang diwakili peguam Aznil Majid diikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syeqal Che Murad.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus, Abdul Wahab dituduh memperdayakan Lee Chor Jin untuk mendepositkan RM20,000 ke dalam akaun bank atas nama Green Age Solar Technolody bagi mendapat keuntungan hibah.

Norhayati turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Harun.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula. - Bernama