AUG 2022: Pencak silat capai sasaran satu pingat emas

Atiqah Fakhira, Nur Husnina dan Nurmunirah ketika beraksi dalam acara regu puteri.
Atiqah Fakhira, Nur Husnina dan Nurmunirah ketika beraksi dalam acara regu puteri.
A
A
A

KEM pencak silat negara berjaya mencapai sasaran satu pingat emas yang diletakkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada hari pertama sukan itu dipertandingkan di temasya Sukan Universiti ASEAN 2022.

Selain satu pingat emas yang disumbangkan oleh trio negara, Atiqah Fakhira Shaiful Azli, Nur Husnina Abdul Hamid, Nurmunirah Zaharudin dalam acara regu puteri di Sunee Tower pada Selasa, skuad pencak silat turut berjaya menyumbang tiga perak dan satu gangsa.

Perak skuad pencak silat dimenangi dalam acara tunggal putera yang diwakili Mohamad Nur Syahmi Rohamidi; ganda putera menerusi gandingan Luqman Nul Hakim Che Abdullah, Mohammad Ammar Sufi Mohammad Rosli dan regu putera melalui trio Muhammad Amirul Haiqal Mohamad Yusuf, Muhammad Faiz Danial Mohd Dahalam serta Muhammad Nur Hafiz Yusoff Khalid.

Bagi pingat gangsa pula dimenangi pesilat seni negara, Mirsha Nuratiqa Mirnawan dalam acara tunggal puteri.

“Saya berbangga dan berasa gembira dengan pencapaian dalam kategori silat seni yang dipertandingkan hari ini

“Alhamdulillah walaupun berdepan pelbagai rintangan sebelum ini disebabkan Covid-19, tetapi atlet kita masih beri persembahan hebat dan membanggakan negara di sini,” kata ketua jurulatih silat, Habizan Othman kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan keyakinan bahawa anak buahnya berpotensi untuk menambah koleksi pingat emas dalam acara silat tanding selepas ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan ada penambahan pingat emas lagi dalam acara pencak silat.

“Sasaran dah lepas, mungkin lepas ini kita sasar untuk dapatkan emas bonus pula dalam acara silat tanding,” ujarnya.