MAEPS Serdang tapak kekal penganjuran MAHA

Ronald Kiandee - Foto Bernama
Ronald Kiandee - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ketika ini tidak bercadang untuk mengadakan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) secara bergilir-gilir mengikut negeri.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana ia melibatkan kos yang tinggi selain beberapa faktor lain turut diambil kira.

Justeru, katanya, keputusan untuk mengadakan pameran itu secara kekal di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang merupakan langkah yang tepat.

“Sebelum ini, penganjuran MAHA pernah diadakan di tapak yang berbeza tetapi sejak 2003, ia ditempatkan di tapak kekal iaitu MAEPS di Serdang. Beberapa faktor menyebabkan keputusan itu dibuat antaranya infrastruktur yang dibina boleh digunakan semula untuk penganjuran seterusnya.

“Ini kerana terdapat rumah-rumah, pavilion negeri dan sebagainya yang dibina secara kekal masih boleh digunakan. Secara umumnya ia melibatkan kos sebenarnya.

“Selain itu, kita juga turut mengambil kira keluasan tapak, kemudahan dan sebagainya di MAEPS bagi memastikan keselesaan pengunjung,” katanya dalam waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang bertanyakan adakah MAFI bercadang untuk mengadakan MAHA secara bergilir-gilir mengikut negeri termasuk Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang memintanya menyatakan sejauh mana persiapan kementerian untuk menganjurkan MAHA 2022 dalam suasana pasca pandemik selepas empat tahun tidak diadakan, Ronald berkata, secara keseluruhan ia berjalan lancar.

Katanya, MAHA akan berlangsung mulai 4 hingga 14 Ogos mengangkat tema ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ itu juga buat julung kalinya diadakan secara hibrid, iaitu kombinasi fizikal dan maya.

“Pemilihan tema ini adalah bertepatan dan selari dengan hasrat kerajaan untuk memberi tumpuan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Justeru itu, penganjuran MAHA 2022 ini akan menjadi platform utama dalam usaha kerajaan melalui MAFI untuk memacu pemulihan sektor agromakanan negara,” katanya