Isu gajah liar: Kerajaan negeri akan panggil Perhilitan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dalam masa terdekat susulan kejadian penduduk cedera diserang gajah liar di Kampung Katong, RPS Kemar, Gerik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pertemuan itu dibuat bagi mendapatkan pandangan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan supaya tidak berulang.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa kawasan tersebut merupakan habitat gajah dan tidak boleh bertindak menghalau haiwan liar itu sewenang-wenangnya.

"Kita kena faham mereka berkongsi habitat. Dalam situasi ini Perhilitan sahaja yang mempunyai kuasa dan pakar. Saya akan panggil pengarah Perhilitan untuk dapatkan pandangan kepada kita apa penyelesaian terbaik.

"Suatu ketika dahulu, gajah ini banyak di tempat lain tetapi hantar ke situ. Jadi kawasan Temengor ada banyak gajah. Pindah gajah bukan penyelesaian muktamad, mungkin ada cara lain," katanya kepada pemberita ketika Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta, di sini pada Isnin.

Saarani (tiga dari kiri) bertemu dengan veteran tentera yang hadir pada Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta, di sini pada Isnin.
Saarani (tiga dari kiri) bertemu dengan veteran tentera yang hadir pada Program Saarani Bersama Bekas Askar di Kompleks Komuniti Taman Perpaduan, Hulu Kinta, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan seorang penduduk di Kampung Katong, RPS Kemar, Gerik parah akibat diserang gajah liar pada Sabtu lalu.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang, wanita Orang Asli berusia 30 tahun itu dikatakan tidak menyedari kehadiran mamalia terbabit ketika dia sedang mencari durian di belakang rumahnya.

Mangsa diserang dan ditendang seekor gajah hingga mengalami patah tangan kanan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut.

Wanita itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.