MOF pelawa sektor swasta beri maklum balas KKA Bajet 2023

Kementerian Kewangan.
Kementerian Kewangan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) mempelawa sektor swasta, termasuk perniagaan dan pakar percukaian untuk memberi maklum balas terhadap Kertas Konsultansi Awam (KKA) Bajet 2023 bertajuk ‘The Implementation Of Globe Rules In Malaysia.’

Menurut kenyataan MOF pada Isnin, kertas yang diterbitkan oleh kementerian itu adalah berkaitan dengan penglibatan Malaysia dalam pelaksanaan Inisiatif GloBE (Global Anti-Base Erosion Model Rules (Pillar Two) termasuk Framework on Base Erosion and Profit Shifting (BEPS).

"KKA tersebut boleh dimuat turun menerusi https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/,” katanya.

Jelas MOF, Penerbitan KKA tersebut merupakan pelengkap kepada Kenyataan Pra-Bajet 2023 yang diterbitkan pada 3 Jun 2022.

Menurutnya, ini juga merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk mendapatkan maklum balas rakyat serta perniagaan berhubung cadangan dasar kerajaan yang akan dipertimbang untuk Bajet 2023.

Inisiatif tersebut telah dimulakan pada 2021 bagi menambah baik serta meningkatkan penglibatan semua pihak dalam proses penyediaan bajet tahunan berkenaan.

Susulan itu, kementerian merancang untuk menerbitkan KKA Bajet 2023 berhubung dengan pembiayaan bagi pembangunan mampan, penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelaksanaan subsidi secara bersasar.

"Kerajaan yakin penerbitan KKA akan menyediakan lebih banyak peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memberi maklum balas masing-masing bagi membolehkan kerajaan merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Kementerian Kewangan mengalu-alukan maklum balas bagi KKA ini sebelum atau pada 15 Ogos 2022,” katanya. - Bernama