Tun M senaraikan ‘kejayaan’ Najib

Dari kiri: Tun Dr Mahathir, Najib
Dari kiri: Tun Dr Mahathir, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Perseteruan antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak kembali hangat apabila dilihat berbalas ‘serangan’ melalui media sosial.

Terbaru, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyenaraikan beberapa ‘kejayaan’ Najib termasuklah ‘berpura-pura’ dan mengaitkannya menerima RM2.6 juta dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

“Najib cuba untuk menyamakan isunya menerima RM2.6 bilion dan mendakwa diberi oleh Raja Arab yang sehingga hari ini tidak wujud atau tampil membuktikan kenyataannya.

“Selain itu, dua mahkamah dan empat hakim telah dapati dia bersalah tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, sebuah anak syarikat 1MDB.

“Najib juga sedang dibicarakan di dalam mahkamah berkaitan kes 1MDB di atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk peroleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 billion tersebut.

“Kesemua aliran wang tersebut ada ‘paper trail’ dan ‘digital footprint’ dan kesemuanya terkait dengan Najib,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.

Beliau menyatakan demikian berhubung kait pada 25 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu, UKSB menyerahkan sumbangan dana politik RM2.6 juta kepadanya, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun memaklumkan pihaknya memberi dana RM1.3 juta kepada Dr Mahathir menerusi dua transaksi pada Ogos dan September 2018, untuk kegunaan parti berkenaan.

Menyangkal dakwaan itu, Ahli Parlimen Langkawi berkata, keadaan berbeza dengan kenyataan David Tan dari UKSB di dalam mahkamah iaitu duit itu diberi melalui anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar dan bukannya kepada beliau.

“Tidak ada bukti duit masuk akaun saya atau saya terima duit itu atau David Tan melihat duit itu diserah pada saya. Apa yang ada hanyalah kenyataan David Tan yang bersandar pula kepada lejernya digelar Buku 555.

“Tan Sri Rahmat telah keluar kenyataan nafi dia serah apa-apa duit pada saya. Dia juga terangkan ada terima wang RM1.3 juta tetapi ini adalah imbuhan untuk jawatan sebagai pengerusi dan penasihat UKSB.

“Dia telah letak jawatan di UKSB tidak lama kemudian dan serah kembali wang RM1.3 juta. Tan Sri Rahmat juga ada surat dan dokumen berkait dengan apa yang dinyatakannya. Memang pun saya tidak pernah terima duit tersebut,” jelasnya.

Jelas Dr Mahathir, ia adalah sesuatu yang amat mudah di faham namun Najib didakwa berpura-pura tidak faham kerana untuk tutup kesalahannya.