Penerima bantuan JKM meningkat 445,000 orang

Siti Zailah - Foto Bernama
Siti Zailah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganggarkan jumlah penerima bantuan pada tahun ini meningkat sebanyak 445,000 individu dengan nilai peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pertambahan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk menggunakan paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu sebanyak RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.

“Susulan perubahan kenaikan PGK sebelum ini, daripada RM908 kepada RM1,169, dianggarkan berlaku peningkatan kadar kelayakan sebanyak lima peratus setahun untuk penerima bantuan.

“Jadi, ia meningkat RM200 juta berbanding dengan tahun sebelum ini atau melibatkan kos sebanyak RM12 bilion untuk lima tahun,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang memintanya menjelaskan adakah PGK Makanan 2019 tidak relevan berikutan pandemik Covid-19 dan inflasi ketika ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Mohd Salim yang bertanyakan adakah kementeriannya berhasrat untuk mengkaji semula kadar bantuan kewangan oleh JKM kepada penerima sedia ada supaya selari dengan kos sara hidup semasa, Siti Zailah berkata, bantuan kebajikan diberikan bukan untuk menampung kos sara hidup sepenuhnya.

Sebaliknya beliau menjelaskan, ia bertujuan untuk membantu kelangsungan hidup kumpulan sasar yang layak dan memerlukan.

“KPWKM melalui JKM menyediakan bantuan kebajikan berbentuk kewangan bagi meringankan beban kumpulan sasar yang bersifat sementara, sehingga kumpulan sasar ini mampu untuk keluar dari putaran kemiskinan ke arah hidup berdikari,” jelasnya.