Kebakaran: Pelajar SMKA Pedas jalani PdPR sementara waktu

Keadaan bangunan berkenaan selepas kejadian. Foto: media sosial
Keadaan bangunan berkenaan selepas kejadian. Foto: media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas di Rembau akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) sementara waktu susulan kejadian kebakaran di sekolah berkenaan pada Ahad.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, mereka akan menjalani sesi itu sehingga penilaian sepenuhnya berkaitan keselamatan sekolah selesai oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan.

"Keputusan itu diambil selepas perbincangan mengenainya dibuat ketika lawatan ke sekolah itu hari ini.

"Faktor keselamatan adalah aspek utama yang perlu diambil kira dan setakat ini, masih tiada laporan forensik yang diperoleh, namun antara sebab kemungkinan adalah permasalahan pendawaian eletrik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohamad Rafie (dua kiri) ketika meninjau lokasi pada Ahad. Foto: Mohamad Rafie.
Mohamad Rafie (dua kiri) ketika meninjau lokasi pada Ahad. Foto: Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar mengambil langkah untuk membuat penilaian pendawaian elektrik di kebanyakan sekolah di seluruh negara.

"... Dan segera mengambil usaha untuk membaiki atau menukar pendawaian di semua sekolah yang bermasalah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur apabila kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, asrama lelaki SMKA Dato Haji Abu Hassan Hassan Haji Sail, Pedas di sini terbakar 80 peratus.