Ubah mentaliti belajar tinggi untuk dapat kerja

Amirudin ketika sidang akhbar Program Jelajah Selangor Penyayang daerah Gombak di padang awam Batu Caves pada Ahad.
Amirudin ketika sidang akhbar Program Jelajah Selangor Penyayang daerah Gombak di padang awam Batu Caves pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Pendidikan bukan sekadar untuk jaminan pekerjaan sebaliknya ilmu penting bagi membentuk karakter dan modal insan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mentaliti belajar tinggi untuk mendapat pekerjaan perlu diubah.

"Pendidikan bukan hanya berakhir dengan pekerjaan. Pendidikan adalah bagi membentuk modal insan. Walaupun mereka boleh berniaga, tapi pendidikan adalah bagi membentuk sahsiah dan jati diri.

"Perlu ditekankan bahawa pendidikan adalah bagi membentuk karakter, pemikiran yang sihat dan matang. Ia akan membentuk karier atau masa depan," katanya ditemui pada Program Jelajah Selangor Penyayang daerah Gombak di padang awam Batu Caves pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan segelintir masyarakat bahawa pendidikan tidak menjamin masa depan.

Ditanya berkenaan isu kewangan menjadi faktor anak muda tidak menyambung pengajian Amirudin berkata, negara mempunyai sokongan pendidikan yang mencukupi untuk keperluan rakyat bagi keluarga kurang berkemampuan.

"Sokongan pendidikan kita bukan sekadar cukup tapi banyak, ada pinjaman daripada bank, bantuan zakat dan negeri, selain biasiswa serta lain-lain lagi.

"Cuma mentaliti (belajar tinggi dapat kerja baik) perlu diubah. Diri sendiri dan keluarga perlu dan mempunyai keinginan untuk mengubah situasi itu," katanya.

Siri Jelajah Selangor Penyayang daerah Gombak menumpukan kepada tema Pendidikan Holistik, Generasi Muda Dinamik.

Kluster pendidikan merangkumi lapan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri merangkumi Pusat Tuisyen Rakyat, Iltizam Mahasiswa Selangor, Peduli Siswa, Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor, Iktisas, Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas).