Warisan gesa tambah baik sistem keselamatan di Sabah

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud, di Kota Belud, pada Sabtu.
Mohd Shafie ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud, di Kota Belud, pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BELUD - Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi menggesa kerajaan menambah baik sistem keselamatan negara terutama di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau berkata, gesaan itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan supaya isu keselamatan dijadikan sebagai keutamaan memandangkan tuntutan daripada pihak mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu tidak diiktiraf oleh pelbagai pihak.

"Saya telah maklumkan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk pastikan mereka hadir (taklimat tertutup) dan mendapat penerangan. Di peringkat Parlimen juga sudah dimaklumkan.

"Penting untuk tahu mengenai pergolakan yang berlaku berhubung isu Sulu ini. Penting kepada kita ialah keselamatan dan saya sudah maklumkan kepada Menteri Undang-Undang (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) supaya keselamatan dijadikan keutamaan.

"Tuntutan ini kita tidak iktiraf. Sultan Sulu tidak diiktiraf di Filipina. Saya sudah nyatakan, Filipina sebagai sebuah republik dan apabila negara itu sudah menjadi republik tidak ada kesultanan. Sultan Sulu tidak ada wilayah atau daerah ditakluki yang boleh dikatakan sebagai Sultan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Kota Belud, pada Sabtu.

Mohd Shafie ditanya berhubung taklimat tertutup yang diadakan bersama ADUN-ADUN Sabah mengenai isu berkaitan waris kesultanan Sulu di Kota Kinabalu. pada Jumaat.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut mendakwa, bahawa isu-isu berkaitan kesultanan Sulu menjadi ancaman dan digunakan oleh pihak lain untuk mengaburi mata masyarakat setiap kali pilihan raya.

"Setiap pilihan raya, ia menjadi isu, datang Sultan Sulu, datang kad pengenalan,datanglah pilihan raya.

"Jadi orang kita di pedalaman mula bimbang kalau tidak undi mereka maka Sabah tidak selamat. Bukan saya katakan tidak selamat sepenuhnya, tetapi perlu ada penambahbaikan dari segi sistem keselamatan termasuk anggota ketenteraan, polis serta kemudahan aset yang perlu diperbaharui," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna meminta supaya aset keselamatan diletakkan di kawasan berpotensi diancam pihak anasir luar terutama di kawasan pantai timur Sabah.

"Banyak ancaman di kawasan pantai timur negara kita, maka perlu ditambah baik. Seperti saya sebutkan tahun lalu, RM17 bilion (diperuntukkan kepada) Kementerian Pertahanan; RM15 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri tetapi ke mana peruntukan itu untuk menjaga keselamatan negara kita.

"Apakah penambahbaikan dari segi kem-kem tentera yang ada untuk peralatan. Jadi, inilah saya suarakan, keselamatan perlu ditingkatkan," katanya.