Kerajaan jamin semak semula Akta Produk Tembakau dan Merokok

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan kerajaan akan menyemak semula Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022 sekiranya RUU itu diluluskan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, semakan itu dicadangkan dibuat selepas 10 tahun akta tersebut dikuatkuasakan.

"Perkara ini akan saya sebut dalam pembentangan di dalam Dewan Rakyat Isnin ini agar ia direkodkan dalam Senarai Penyata Rasmi (hansard)," katanya.

Menurutnya, satu jawatankuasa bebas akan diwujudkan bagi tujuan itu.

"Jawatankuasa ini akan bentangkan laporan keberkesanan akta ini kepada Jawatankuasa Parlimen supaya penambahbaikan boleh dibuat," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan antara syor dan nasihat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).

"Saya harap ahli Parlimen kalau ada yang tidak sokong, jangan ganggu laluan RUU ini," katanya.

Khairy berkata, setakat ini penglibatan dan sokongan ahli Parlimen adalah sangat baik.

"Secara keseluruhan, ramai ahli Parlimen yang menyokongnya. Ada antara mereka membangkitkan isu penguatkuasaan, sokong. Ada yang bangkitkan isu penguatkuasaan, rokok dan sebagainya.

"Saya beritahu kepada mereka yang mana boleh perketat, kita akan perketatkan dan ada garis panduan supaya tidak berlaku salah guna kuasa," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan ada syarikat rokok (big tobacco) melobi ahli Parlimen berhubung dengan RUU itu, Khairy mengakui perkara itu berlaku.

"Ada beberapa ahli Parlimen memberitahu (jumpa wakil syarikat rokok) saya dan cakap jangan risau, mereka akan sokong RUU," katanya.

Tegas Khairy, tindakan syarikat rokok tersebut merupakan kesalahan di bawah The Framework Convention on Tobacco Control.

"Mereka tidak boleh melobi atau campur tangan dalam perundangan mana-mana negara tentang kawalan tembakau.

"Kenapa kamu nak jual benda yang boleh bunuh orang dan mereka tahu rokok yang dijual itu boleh membunuh," katanya.

Menjawab persoalan berhubung kenapa kerajaan tidak melakukan tindakan serupa terhadap arak, garam dan gula yang dilihat turut mendatangkan masalah kepada rakyat, Khairy berkata, tidak ada kuantiti selamat untuk rokok.

"Benda lain kalau ambil dengan sederhana, ia tidak akan memudaratkan.

"Makan garam, gula lebih, ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Dia sahaja yang sakit. Tetapi rokok, di Amerika Syarikat sahaja, puluhan ribu meninggal akibat asap rokok," katanya.

Tambah Khairy, RUU itu dilihat mampu menyelamatkan dua juta nyawa akibat kematian pramatang menjelang tahun 2040 disebabkan rokok.

"Sebab itu, saya merayu kepada ahli Parlimen untuk sama-sama kita luluskan RUU ini daripada kematian pramatang disebabkan perokok sekali gus ia juga dapat membantu menurunkan kes berkaitan rokok," katanya.