UMNO sedia lakukan pindaan penuhi ketetapan RoS

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - UMNO sedia melakukan pindaan bagi memenuhi ketetapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan pindaan parti itu berhubung penangguhan pemilihan pada Jumaat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pindaan itu membabitkan pemilihan di setiap peringkat perlu diadakan daripada 18 bulan kepada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Katanya, UMNO tidak berdepan masalah untuk meminda perlembagaan parti dan akan memperhalusinya ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 4 Ogos ini.

"UMNO gembira dengan keputusan RoS yang menepati hasrat ahli-ahli akar umbi yang meminta agar tiada pemilihan parti dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

"Kelulusan dan pindaan itu yang diterima daripada RoS itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

"Dalam mesyuarat itu juga, tarikh- tarikh persidangan di peringkat Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini akan di susun semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SMA An-Nur di Benut, di sini pada Sabtu.

Ahmad Maslan bersama pelajar-pelajar SMA An-Nur yang memperolehi keputusan Mumtaz Soufi pada peperiksaan STAM 2021.
Ahmad Maslan bersama pelajar-pelajar SMA An-Nur yang memperolehi keputusan Mumtaz Soufi pada peperiksaan STAM 2021.

SMA An-Nur merupakan sekolah terbaik di peringkat Kebangsaan peperiksaan STAM pada dalam kalangan Sekolah Agama Bantuan Kebangsaan (SABK) pada tahun lalu.

Pada Jumaat, Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Kelulusan diberikan oleh ROS selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa Jumaat.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO sememangnya mahu mengekalkan persidangan pemilihan dibuat selepas PRU, sebagaimana kehendak perwakilan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dibuat pada 15 Mei lalu itu dikekalkan ROS dalam pindaan perlembagaan parti.

Katanya, dengan kelulusan tersebut akan membolehkan UMNO memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi PRU15 tanpa memikirkan pertandingan di dalam parti.

“UMNO akan memperkukuhkan parti dan mempersiapkan jentera pilihan raya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan,” ujarnya.