Bursa Malaysia dijangka catat aliran lebih tinggi minggu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dijangka meneruskan momentum meningkat minggu depan, didorong oleh sentimen positif dan penyertaan dana asing yang semakin baik, kata peniaga.

Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana, Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran diunjurkan bergerak di antara 1,510 dengan 1,520 minggu depan.

"Bursa tempatan menyaksikan pembelian semasa harga rendah yang rancak dan ini mendorong melonjakkan FBM KLCI ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan pada minggu lepas.

Saya menjangkakan pembeli asing akan terus (memasuki pasaran) dan menaikkan indeks.

Sebelum ini, kita merekodkan pembelian kukuh dalam saham tenaga dan teknologi.

"Kenaikan indeks utama telah didorong terutama oleh reaksi pelabur terhadap prestasi kewangan korporat yang lebih baik berbanding dengan jangkaan, serta kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell bahawa kadar faedah (di AS) mungkin perlahan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ekonomi AS berada dalam kemelesetan teknikal namun indikator seperti pasaran buruh dan perbelanjaan pengguna tidak menunjukkan kemerosotan itu.

Semasa penutupan dagangan pada Jumaat, FBM KLCI meningkat 0.07 peratus atau 1.03 mata untuk berakhir pada 1,492.23 daripada 1,491.20 ketika ditutup pada Khamis.

Berasaskan mingguan, indeks penanda aras itu naik 26.43 mata kepada 1,492.23 daripada 1,465.80 pada akhir minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 205.82 mata kepada 10,601.90; Indeks FBM Emas Shariah menambah 273.03 mata kepada 10,734.77; FBM 70 melonjak 308.41 mata kepada 12,758.44; Indeks FBMT 100 naik 199.04 mata kepada 10,352.88 dan FBM ACE menokok 58.83 mata kepada 4,848.00.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 195.70 mata kepada 16,645.39; Indeks Tenaga naik 28.40 mata kepada 671.24; Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 7.33 mata kepada 184.37 manakala Indeks Perladangan meningkat 132.09 mata kepada 6,998.34.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.57 bilion saham bernilai RM6.45 bilion daripada 6.80 bilion saham bernilai RM6.03 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.50 bilion unit bernilai RM275.57 juta daripada 1.53 bilion unit bernilai RM327.00 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 2.16 bilion saham bernilai RM770.09 juta berbanding dengan 2.44 bilion saham bernilai RM572.31 juta yang direkodkan minggu lepas. - Bernama