Jawatan Bendahari Agung dan Pengerusi PBM Perak dikosongkan

Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu. -Foto Bernama
Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan membuat lantikan baharu bagi jawatan Bendahari Agung dan Pengerusi PBM Negeri Perak bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong yang berehat daripada aktiviti dan pengurusan parti.

Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, jawatan Bendahari Agung dan Pengerusi Negeri Perak yang disandang Paul Yong akan diganti dengan indvidu lain dalam masa terdekat.

Menurutnya, langkah itu berkuatkuasa sehingga proses rayuan beliau di mahkamah selesai.

“Keputusan ini diambil selepas mesyuarat MT PBM untuk membincangkan mengenai hal-hal berkaitan pengurusan parti dan isu-isu terkini yang berkaitan pada Jumaat,” katanya.

Jelasnya, dalam perkembangan lain, MT PBM bersetuju untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Bahagian pada 30 Julai hingga 14 Ogos 2022 dan Persidangan Agung Tahunan Negeri pada 15 hingga 29 Ogos 2022.

"Pada tarikh yang sama, persidangan bagi sayap wanita dan pemuda Parti Bangsa Malaysia bagi setiap bahagian dan negeri di seluruh Malaysia," katanya.

Paul Yong Choo Kiong didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Yong yang juga bekas exco kerajaan negeri boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.