Calon muda perlu diberi lebih banyak ruang

Wan Ahmad Fayhsal (tengah) beramah mesra orang ramai yang hadir semasa program turun padang beliau ke Kilang Projek D'Raja Kelantan di Telong, Bachok pada Jumaat.
Wan Ahmad Fayhsal (tengah) beramah mesra orang ramai yang hadir semasa program turun padang beliau ke Kilang Projek D'Raja Kelantan di Telong, Bachok pada Jumaat.
A
A
A

BACHOK - Calon muda perlu diberi ruang yang lebih luas untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memenuhi 'selera' pengundi berusia muda.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, hal ini kerana kebanyakan golongan itu lebih cenderong memilih calon muda yang bersih dan berketerampilan.

"Bukan sahaja Bersatu, semua parti lain dalam komponen Pakatan Nasional (PN) turut mengambil serius perkara ini.

"Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN), hal ini kerana golongan ini (18 tahun) sudah berhak memilih pemimpin mengikut selera mereka," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kilang Projek D'Raja Kelantan di Telong di sini pada Jumaat.

Menurutnya, selain pengundi muda golongan atas pagar perlu diberikan perhatian.

Katanya, golongan atas pagar tidak menyokong mana-mana parti politik dilihat lebih berminat untuk memilih tokoh pemimpin muda sebagai wakil rakyat.

Sinar Harian 2 Disember lalu melaporkan, pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.