Tiga individu dicari bantu siasatan kes dera kanak-kanak

Polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak perempuan lima tahun. - Foto Bernama
Polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak perempuan lima tahun. - Foto Bernama
A
A
A

JEMPOL - Polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, individu itu ialah seorang lelaki, R Guna Silan, 42, dan dua wanita iaitu K Nagamah, 41, dan G Nisha, 21, masing-masing beralamat di Taman Seri Mahsan.

"Ketiga-tiga individu ini merupakan bapa dan ibu saudara serta sepupu mangsa. Mangsa dijaga oleh mereka dengan upah sebanyak RM300 sebulan berikutan ibunya bekerja di Johor.

"Hasil siasatan mendapati mangsa telah didera berikutan terdapat kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan yang lain pada keseluruhan badan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Chang Hook berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jempol.

"Kejadian penderaan ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya sebelum ibunya membuat laporan polis pada Rabu lalu jam 10.54 pagi.

"Justeru, polis menubuhkan satu pasukan khas untuk mengesan ketiga-tiga individu berkenaan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes atau ketiga-tiga individu itu diminta tampil bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.