Program SAVE 3.0: Tebus, jimat wang, jimat tenaga elektrik, selamatkan alam sekitar

A
A
A

No Image Caption



Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) menyediakan Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE 3.0) iaitu program pemberian e-rebat kepada pengguna untuk pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang bagi tahun 2022.

Program SAVE 3.0 merupakan kesinambungan Program SAVE 2.0 yang telah dilaksanakan pada tahun 2021. Pada program yang lalu, SAVE 2.0 telah merekodkan sambutan yang amat menggalakkan iaitu sebanyak 134,000 penebusan e-rebat, dengan penjimatan sebanyak RM26.8 juta.

Program ini juga disokong oleh rakan-rakan pelaksana seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sarawak Energy Berhad (SEB),Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), NUR Power Sdn Bhd dan platform e-dagang iaitu Shopee, Lazada, PG Mall dan Youbeli.

Tujuan utama program SAVE 3.0 adalah untuk meningkatkan jumlah bilangan kelengkapan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang serta meningkatkan kesedaran orang ramai agar membeli kelengkapan cekap tenaga yang akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik terutamanya pengguna domestik.

No Image Caption



Terdapat dua kategori permohonan di bawah Program SAVE 3.0. Peralatan elektrik yang boleh ditebus berdasarkan dua kategori iaitu:

Kategori 1:

- Peti sejuk (RM200)

- Penyaman udara (RM200)

Kategori 2:

- Televisyen (RM200)

- Mesin basuh (RM200)

- Ketuhar gelombang mikro (RM100)

- Periuk nasi (RM50)

Slogan ‘Jimat Wang, Jimat Tenaga, Selamatkan Alam Sekitar’ mencerminkan tiga objektif utama pelaksanaan program ini iaitu; menjimatkan wang melalui pengurangan bil elektrik bulanan, menjimatkan tenaga melalui pengurangan kos penjanaan tenaga dan menyelamatkan alam sekitar dengan pengurangan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau.

Program ini dijangka memanfaatkan sehingga 140,000 isi rumah di seluruh negara dan kuota adalah terhad. Kerajaan menyasarkan penjimatan tenaga sehingga RM60.45 juta serta pengurangan jejak karbon sehingga 130,000 tan CO2 bagi setiap tahun.

Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, cara permohonan e-rebat, mekanisme pelaksanaan dan senarai jenama serta model kelengkapan elektrik cekap tenaga dan senarai pekedai di bawah Program SAVE 3.0 boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di pautan www.saveenergy.gov.my atau layari laman sesawang khas yang disediakan di platform e-dagang yang terlibat.