Himpunan Hijau 3.0 bukan untuk Pas lawan kerajaan sedia ada

Untuk menyatukan penyokong Pas dan memperkuat jentera parti

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menafikan dakwaan bahawa Himpunan Hijau 3.0 (H20K) pada Ahad ini untuk bersaing dan menumbangkan kerajaan sedia ada.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sebaliknya himpunan itu hanya untuk menyatukan penyokong Pas dan memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Program ini bukan hendak serang mana-mana individu dan parti atau menukar kerajaan tetapi lebih kepada untuk perkukuhkan kesepaduan dalam parti Pas.

“Kita juga tidak menjemput parti lain sama ada Barisan Nasional (BN) mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana himpunan ini hanya melibatkan ahli dan penyokong Pas semata-mata,” katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Agama Al- Irsyad, pada Jumaat.

Beberapa hari lalu timbul pelbagai dakwaan daripada individu tertentu bahawa penganjuran H20K merupakan agenda menjatuhkan kerajaan dan parti politik di Pahang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching berkata, penganjuran himpunan itu sudah mendapat kebenaran Balai Polis Daerah Kuantan dan mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi.

Katanya, himpunan itu akan berlangsung di Pantai Sepat di sini bermula 8 pagi hingga 11 malam yang akan dihadiri lebih 20,000 ahli dan penyokong Pas di seluruh negara.

“Penganjuran ini bertepatan dengan suasana politik semasa memandangkan hampir semua parti sudah mengadakan perjumpaan dengan ahli mereka di peringkat akar umbi.

"Ia (H20K) macam motivasi dan menaikkan semangat untuk mereka (ahli dan penyokong Pas) bersiap siaga berdepan PRU15,” katanya.

Tambah Mohd Tarmizi, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti bola sepak pantai,larian hijau, soopa doopa, busking, pameran motosikal, pertandingan mewarna, mini zoo, cabutan bertuah dan sebagainya.

“Turut diadakan sempena H20K adalah jualan kebajikan sebanyak 1,000 ekor ayam yang ditawarkan kepada pengunjung dengan harga RM10 seekor,” katanya.

Mohd Tarmizi yang juga penyelaras H20K memaklumkan, tiga pemimpin Pas akan menyampaikan ceramah pada malam berkenaan.

Tambahnya, ceramah akan dimulakan oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang merupakan ADUN Tanjung Lumpur diikuti Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah diakhiri dengan ceramah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Saya jangkakan isi kandungan ceramah lebih kepada persiapan untuk menghadapi PRU15, tapi mungkin Nik Amar akan sentuh isu di Kelantan sebab dia timbalan Menteri Besar (Kelantan).

"Datuk Seri Tuan (Ibrahim) pula mungkin sentuh sikit mengenai Muafakat Nasional, Perikatan Nasional," katanya.

Himpunan H20K pada asalnya dijadualkan berlangsung di Stadium Felda Jengka, dekat Maran, namun kelulusan diberikan pada 1 Julai lalu, dibatalkan oleh pihak pengurusan Felda pada 6 Julai.