USM bantu warga OKU jaga kesihatan mulut

Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melakukan pemeriksaan gigi di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk), pada Khamis.
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melakukan pemeriksaan gigi di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk), pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains (USM) Malaysia membantu 100 orang kurang upaya (OKU) menjaga kesihatan mulut dengan menjalankan saringan pergigian di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) di Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis.

Pengarah Program Saringan Pergigian dan Penjagaan Kesihatan Mulut kepada Golongan OKU, Dr Johari Yap berkata, program diadakan selama dua hari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan mulut termasuk OKU kanak-kakak.

“Golongan OKU adalah antara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 disebabkan beberapa kekangan seperti pengangkutan dan kewangan memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah golongan B40.

“Mereka diberikan saringan pergigian dan taklimat berkaitan penjagaan kesihatan mulut bagi mengelak jangkitan berkaitan mulut berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Dr Johari berkata, USM menyediakan bas pergigian yang dilengkapi dua kerusi pergigian bagi memeriksa serta memberikan rawatan ringkas kepada pesakit.

“USM turut membawa kerusi pergigian mudah alih di bilik terapi Yokuk bagi memudahkan saringan dan rawatan kepada golongan OKU berkerusi roda serta mereka yang sukar untuk bergerak.

“Pemilihan Yokuk sebagai rakan kerjasama kerana badan bukan kerajaan (NGO) itu aktif membantu rehabilitasi golongan itu dengan lebih 5,000 OKU mendaftar dengan badan itu,” katanya.

Tambah Dr Johari, OKU yang memerlukan rawatan lanjut di klinik pergigian diberi tarikh janji temu.