Jawatankuasa Hidupan Liar Pahang perangi sindiket pemburu haram

Pemburuan haram dan kemusnahan habitat yang berlaku telah menyebabkan hanya tinggal lebih kurang 150 ekor Harimau Malaya dan bilangannya semakin merosot setiap tahun. - Gambar hiasan
Pemburuan haram dan kemusnahan habitat yang berlaku telah menyebabkan hanya tinggal lebih kurang 150 ekor Harimau Malaya dan bilangannya semakin merosot setiap tahun. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melakukan beberapa usaha untuk memulihara dan menyelamatkan harimau di negara ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Hidupan Liar Pahang di bawah Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, jawatankuasa berkenaan akan mengetuai usaha bersepadu dalam memerangi sindiket pemburu haram di negeri ini.

Titahnya, pemburuan haram dan kemusnahan habitat yang berlaku telah menyebabkan hanya tinggal lebih kurang 150 ekor Harimau Malaya dan bilangannya semakin merosot setiap tahun.

"Unit Renjer Hidupan Liar Pahang juga telah dibentuk untuk menggerakkan operasi tersebut.

“Sementara itu, kempen 'Selamatkan Harimau Malaya' telah membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu ini.

"Inisiatif ini selari dengan usaha Pasukan Petugas Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (MyTTF),” titah baginda dalam satu kenyataan bersempena Hari Harimau Sedunia di sini pada Jumaat.

Hari Harimau Sedunia disambut pada setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang spesies harimau yang semakin diancam kepupusan.

Sambutan Hari Harimau Sedunia ini bermula pada 2010 apabila 13 negara yang mempunyai populasi harimau berkeliaran telah bergabung untuk meningkatkan populasi harimau dan Malaysia merupakan salah satu daripadanya.

Tengku Hassanal turut bertitah bahawa Pahang antara lokasi yang sesuai untuk pembiakan Harimau Malaya di negara ini kerana mempunyai keluasan hutan kira-kira 57 peratus daripada keluasan negeri dan jauh dari penempatan manusia.

“Disebabkan itu saya menitahkan agar kerajaan Pahang dapat meningkatkan keluasan kawasan hutan setiap tahun,” titahnya.

Mengulas lanjut Tengku Hassan bertitah, agensi kerajaan juga perlu bertindak tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya, apatah lagi undang-undang melindungi hutan simpan turut memberi kepentingan kepada manusia termasuk membantu memulihara sumber tadahan air serta mengurangkan implikasi banjir.

Titah baginda lagi, usaha dan keberkesanan dalam memerangi aktiviti pemburuan dan perdagangan haram akan gagal jika tidak seiring dengan penekanan yang sama terhadap perlindungan hutan.

Sebelum itu, baginda bertitah pada tahun ini, Nepal, India, Bhutan, China dan Rusia telah dilaporkan begitu giat dalam usaha pemuliharaan populasi harimau sehingga berjaya meningkatkan populasi harimau, tidak sebagaimana di Asia Tenggara apabila populasi tersebut masih mengalami kemerosotan.

“Malah, Harimau Malaya disenaraikan dalam kategori sangat terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN),” titahnya.

Dalam usaha menyelamatkan populasi terancam itu, Tengku Hassanal juga mahu golongan belia dan orang muda memainkan peranan memanfaatkan teknologi maklumat dengan mendidik diri tentang kepentingan harimau dan habitatnya kepada ekosistem hutan, ancaman dihadapi dan menyebarkan kesedaran berkaitan kepada masyarakat.

“Sempena Sambutan Harimau Sedunia pada tahun ini, saya berkongsi aspirasi yang sama dengan semua rakyat Malaysia yang ingin melihat populasi Harimau Malaya kita semakin bertambah.

“Sekiranya kita dapat bekerjasama untuk memastikan kesinambungan populasi Harimau Malaya ini, populasi harimau bukan sahaja akan bertambah, malah kita sebenarnya juga berjaya melindungi hutan yang banyak menyimpan khazanah biodiversiti dan fungsi ekosistem yang penting, lebih-lebih lagi di negeri Pahang.

“Justeru, saya menyeru semua pihak agar terus komited dan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan spesies kebanggaan negara ini,” titahnya.