Kesan vape bertambah teruk beberapa tahun lagi

Vape bukan sahaja memberi kesan pada paru-paru, tetapi menimbulkan masalah pada saluran darah dan menyebabkan penyakit jantung. Gambar kecil: Dr Nur Amani
Vape bukan sahaja memberi kesan pada paru-paru, tetapi menimbulkan masalah pada saluran darah dan menyebabkan penyakit jantung. Gambar kecil: Dr Nur Amani
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar perubatan menjangkakan kesan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi lebih teruk dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Felo Kawalan Tembakau, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, kesannya dilihat lebih ketara setelah kanak-kanak dan remaja yang menghisap vape dalam tempoh ini meningkat dewasa.

Menurutnya, ketagihan vape sangat tinggi, malah terbukti individu yang tidak pernah merokok sebelum ini juga mula terdedah dengan rokok elektronik.

“Apabila mula (menghisap) vape, (mereka) akan ketagihan bahan lain. Impak itu sangat tinggi dalam kalangan remaja serta kanak-kanak kerana mereka mengalami perubahan hormon serta tumbesaran badan.

“Otak yang berkembang, ditambah tekanan rakan sebaya mendorong mereka menjadi penghisap vape kemudian bertukar kepada rokok.

“Pusat Racun Negara melaporkan, kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak melibatkan usia empat bulan (paling muda), manakala enam kes pada tahun 2019 dan 13 kes pada 2020,” katanya.

Dr Nur Amani berkata, vape bukan sahaja memberi kesan pada paru-paru, tetapi menimbulkan masalah pada saluran darah dan menyebabkan penyakit jantung.

Katanya, kajian The Johns Hopkins University pada Oktober 2021 mendapati, vape mengandungi lebih 1,000 bahan kimia antaranya kafein, tiga kimia baharu, racun serangga serta perisa dan pewarna tiruan.

“Kesan vape akan terus dirasai oleh penghisap, misalnya degupan jantung dan tekanan darah meningkat serta kesan jangka panjang seperti serangan jantung.

“Ada pesakit yang mendapat masalah popcorn lung dan Evali (penyakit berkaitan paru-paru akibat vape) dalam tempoh kurang setahun,” katanya.