Jambatan Bailey Kampung Iboi ditutup

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

BALING - Jambatan Bailey di Kampung Iboi, Kupang ditutup sementara untuk semua pengguna berikutan paras air sungai meningkat dan berisiko mendatangkan bahaya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, hujan lebat selama lebih sejam menyebabkan berlakunya banjir kilat sehingga beberapa buah rumah dinaiki air pada Khamis.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan air sungai melimpah dan menjejaskan rumah penduduk terutama yang terletak berdekatan tebing sungai.

"Air telah melepasi jambatan dan menyebabkan laluan tersebut ditutup sehingga keadaan pulih dan disahkan selamat untuk digunakan," katanya.

Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan semasa dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, maklumat mengenai banjir di Kampung Iboi diterima pada jam 5 petang dan mengarahkan sepasukan anggota membuat pemantauan.

"Hasil tinjauan ke lokasi kejadian mendapati beberapa buah rumah dimasuki air susulan banjir kilat tersebut, bagaimanapun setakat ini tiada maklumat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka," katanya.

Bagaimanapun katanya, pemantauan sentiasa dijalankan dari masa ke masa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, tiga nyawa terkorban akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling Kedah 4 Julai lalu.