TNB cari penyelesaian bantu mangsa kes curi identiti

Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan seorang lelaki bahawa identitinya dicuri sehingga dia menanggung hutang hampir setengah juta ringgit.
Laporan Sinar Harian berhubung dakwaan seorang lelaki bahawa identitinya dicuri sehingga dia menanggung hutang hampir setengah juta ringgit.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mencari penyelesaian terbaik bagi membantu seorang lelaki yang menjadi mangsa curi identiti sehingga menanggung hutang hampir setengah juta ringgit.

Komunikasi Korporat Kumpulan TNB dalam kenyataan memaklumkan, pihak TNB memandang serius perkara tersebut dan berusaha untuk menambah baik serta memperkemaskan lagi proses pendaftaran akaun di TNB supaya perkara yang sama dapat dielakkan pada masa akan datang.

“Bagi kes mencuri atau manipulasi identiti untuk mendaftar akaun TNB, kes di Bukit Mertajam ini sedang disiasat TNB.

“Orang awam, terutamanya yang pernah kehilangan dokumen identiti mereka dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak utiliti, bank, insurans atau agensi-agensi perkhidmatan yang lain bagi memastikan identiti mereka tidak disalah guna untuk pembukaan akaun di syarikat-syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan ada Khamis.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan situasi seorang tukang kayu yang berdepan dengan tindakan mahkamah berikutan maklumat peribadi miliknya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk perjanjian penyewaan dua premis di Bukit Mertajam dan Butterworth.

Ang Siang Ping, 26, berkata, dia terpaksa menanggung hutang hampir RM500,000 dengan TNB selepas identitinya disalah guna termasuk didakwa telah mengubah suai meter untuk aktiviti perlombongan mata wang elektronik bitcoin.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, pelanggan TNB boleh menggunakan aplikasi dan portal myTNB untuk menyemak akaun-akaun yang didaftar menggunakan nombor kad pengenalan mereka.

“Sekiranya terdapat akaun yang meragukan tersenarai di myTNB mereka, pengguna dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB.

“Untuk sebarang pertanyaan lain berkaitan akaun, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454, Facebook TNB Careline atau Twitter@Tenaga_Nasional,” ujarnya.