'Sejarah untuk negara'

Ahmad Maslan, Syed Saddiq, Anthony Loke, Fahmi Fadzil, Mujahid
Ahmad Maslan, Syed Saddiq, Anthony Loke, Fahmi Fadzil, Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyifatkan kejayaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti sebagai satu sejarah buat negara.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kestabilan politik dan demokrasi yang tak dicemari penting demi kesejahteraan.

"Sejarah untuk negara #Malaysia. Kestabilan politik dan demokrasi yang tak dicemari penting demi kesejahteraan," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kelulusan RUU tersebut merupakan langkah terbaik untuk demokrasi negara.

"Hari yang bersejarah. Akta lompat parti diluluskan oleh 209 Ahli Parlimen. Hari yang baik untuk demokrasi," ciapnya di Twitter.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook pula percaya pindaan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara.

"Diharap pindaan hari ini akan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi kita," katanya di laman Facebook beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melihat kejayaan meluluskan RUU itu adalah satu kemenangan kepada rakyat.

"Rakyat menang! Selamat tinggal katak!" katanya menerusi laman Twitternya.

Sementara Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ahli Parlimen telah menebus kembali hak rakyat selepas adegan melompat parti oleh beberapa ahli Parlimen sebelum ini.

"Kami telah menebus kembali hak rakyat setelah beberapa MP (Ahli Parlimen) memburukkan imej MP dengan adegan melompat demi kepentingan dan habuan peribadi. Terima kasih rakyat," katanya dalam laman Twitternya.