Ditahan ketika leka isi diesel dalam tangki tambahan

Pemandu dan kelindan lori yang ditahan untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan KPDNHEP
Pemandu dan kelindan lori yang ditahan untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A
A

BALING - Dua lelaki yang leka mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan sebuah lori ditahan di sebuah stesen minyak di pekan Kuala Ketil, dekat sini pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, minyak diesel berkenaan disedut menggunakan pam yang dipasang di badan lori tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kapasiti muatan tangki tambahan itu dipercayai boleh memuatkan lebih kurang 6,000 liter cecair minyak diesel.

"Pemandu dan kelindan lori terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan KPDNHEP bagi membolehkan barang kawalan tersebut iaitu minyak diesel berada di dalam kawalannya dengan kuantiti yang tidak munasabah.

"Semasa serbuan, lebih kurang 1,200 liter minyak diesel dengan nilai RM2,580 didapati telah dibeli. Semua barangan tersebut dirampas termasuk sebuah lori satu tan.

Pemeriksaan lanjut menemui tangki tambahan di bahagian belakang lori tersebut.- Foto ihsan KPDNHEP
Pemeriksaan lanjut menemui tangki tambahan di bahagian belakang lori tersebut.- Foto ihsan KPDNHEP

"Keseluruhan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM17,580. Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Affendi berkata lagi, serbuan tersebut dijalankan oleh KPDNHEP Cawangan Baling pada jam 1.30 petang Rabu.

Jelasnya, soal siasat awal mendapati minyak diesel tersebut dibeli untuk kegunaan jentera bagi kegunaan industri pembalakan.

"Sebagai makluman, pengguna industri sepatutnya mendapatkan minyak diesel industri dari pemborong yang sah dan bukannya membeli dari stesen dengan harga subsidi," ujarnya.