Indonesia tarik sekatan kemasukan amah, tenaga kerja

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Indonesia bersetuju untuk menarik balik sekatan kemasukan amah dan tenaga kerja Indonesia (TKI) negara itu ke Malaysia bermula 1 Ogos.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu dicapai dalam perbincanganya dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada Rabu.

"Kedua-dua pihak Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI)," katanya.

Menurutnya, integrasi sistem tersebut akan berperanan sebagai saluran tunggal pengambilan dan kemasukan PDI ke Malaysia.

"Sistem ini akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai.

"Majikan yang telah diluluskan kuota pekerja warga asing diingatkan dan digesa untuk segera membuat bayaran levi dengan pihak imigresen," katanya.

Saravanan berkata, majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan.

Pada 1 April lalu, Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia.

Bagaimana pun, pada 13 Julai negara itu memutuskan untuk menyekat kemasukan PDI ke negara ini selepas mendakwa Malaysia tidak menghormati MoU yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.