KPDNHEP pastikan bekalan ayam, telur stabil

Gambar hiasan - Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
Gambar hiasan - Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan bekalan serta harga ayam dan telur kekal stabil.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara langkah yang diambil termasuklah menjalankan pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama yang merangkumi tiga syarikat integrator dan 17 syarikat non-integrator.

Jelasnya, pemantauan ini dilakukan bagi mengesan lebih awal risiko-risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

“Membuat unjuran pengeluaran ayam dilakukan setiap bulan bagi membolehkan KPDNHEP merangka pelan tindakan sewajarnya sekiranya dijangkakan akan berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran.

“Selain itu, pemeriksaan harian turut dibuat bagi memantau kedudukan bekalan dan keberadaan ayam dan telur di setiap rantaian pengedaran iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang memintanya menyatakan langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan bekalan ayam dan telur ayam tidak terputus serta mampu dibeli oleh rakyat dengan harga yang berpatutan.

Ujarnya, langkah lain yang turut diambil adalah dengan mengeluarkan arahan kepada peruncit untuk memperbaharui stok bekalan yang ada di premis masing-masing dan menghubungi pemborong serta pengeluar jika stok mereka jatuh ke tahap pesanan semula (re-order limit).

“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan bekalan ayam dan telur kembali stabil, KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan agensi- agensi kerajaan yang terlibat bagi mengenalpasti punca dan mencari kaedah penyelesaian yang adil dan kondusif bagi memastikan isu kekurangan bekalan telur ayam ketika ini dapat diatasi segera,” katanya.