Konvensyen PN diadakan 27 Ogos depan

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Rabu malam bersetuju mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos depan. Foto: Facebook Muhyiddin Yassin
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Rabu malam bersetuju mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos depan. Foto: Facebook Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos depan sempena ulang tahun kedua parti tersebut.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada Rabu malam.

Beliau berkata, perkara lain yang turut dibincangkan adalah persiapan-persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Malam tadi (Rabu) saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dihadiri oleh presiden parti-parti anggota PN dan ahli-ahli Majlis Tertinggi.

“Saya telah melaporkan beberapa perkembangan terkini PN termasuk pelancaran PN Kelantan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negeri Kelantan dan pelancaran PN Terengganu di Marang pada 30 Julai 2022.

“Mesyuarat ini turut membincangkan persiapan-persiapan penting bagi menghadapi PRU15.

“Mesyuarat pada malam tadi juga bersetuju untuk mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos 2022 sempena sambutan ulang tahun kedua PN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Muhyiddin turut merasmikan Majlis Pelancaran PN Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di negeri tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepimpinan parti.