Bunga Raya 7’s bersedia harungi gelora Birmingham 2022

Qais Abdulla Al Dhalai (barisan belakang, tengah) bersama pasukan Bunga Raya 7s negara di Perkampungan Sukan Komanwel University of Warwick, Coventry.
Qais Abdulla Al Dhalai (barisan belakang, tengah) bersama pasukan Bunga Raya 7s negara di Perkampungan Sukan Komanwel University of Warwick, Coventry.
A
A
A

SKUAD Bunga Raya 7’s negara sudah bersedia memberikan tentangan sengit kepada jagoan ragbi dunia apabila tirai Sukan Komanwel Birmingham 2022 disingkap 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Itu keyakinan pengendali Bunga Raya 7’s negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor selepas melihat keserasian dalam kalangan pemain negara yang dibentuk sepanjang siri persiapan di Birmingham.

“Syukur alhamdulillah, keserasian Bunga Raya 7’s berada pada tahap terbaik dan prestasi telah pun meningkat semasa menjalani latihan fasa terakhir sejak tiba di Birmingham, selain berusaha menyesuaikan diri bermain dalam cuaca sejuk.

“Malah, pasukan telah mengharungi satu kejohanan Sixways 7s di Stadium Sixways, Worcester, selain perlawanan persahabatan menentang kelab ragbi tempatan New Port High School OB.

“Saya percaya pendedahan awal ini membolehkan pasukan lebih bersedia mengharungi kejohanan minggu ini,” katanya.

Saizul Hafifi turut memaklumkan skuad negara mendapat tonik tambahan dengan kunjungan Presiden Ragbi Asia, Qais Abdulla Al Dhalai yang meninjau persiapan pasukan negara di Perkampungan Sukan Komanwel University of Warwick, Coventry baru-baru.

Pada kejohanan Sixways 7s itu, skuad Bunga Raya 7s bermula langkah kiri tewas 0-32 kepada Samurai sebelum bangkit menewaskan Midlands Mob 7s, 29-14 diikuti kemenangan 17-7 ke atas Prostrate Cymru, manakala di separuh akhir Cup tewas 21-35 kepada Ramblin Jesters.

Anak buah Saizul Hafifi yang diundi dalam Kumpulan B akan menyingkap cabaran menentang Afrika Selatan dan Scotland pada 28 Julai, diikuti Tonga, 30 Julai di Stadium Coventry.

Pada masa sama, Saizul Hafifi juga mengakui berpuas hati dengan venue latihan yang disifatkannya cukup sempurna sebagai persediaan pasukan mengharungi temasya berkenaan.

“Alhamdulillah, para pemain juga dapat memanfaatkan sepenuhnya venue latihan dengan sempurna dalam usaha menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini.

“Malah, keadaan padang latihan yang selesa juga berhampiran dengan venue kejohanan iaitu Stadium Coventry menyaksikan para pemain teruja untuk memberikan aksi terbaik masing-masing.

“Kami juga teruja untuk mendapatkan slot sesi latihan terakhir Stadium Coventry yang bakal menjadi venue rasmi acara ragbi,” katanya.

Pada saingan edisi Gold Coast 2018 Australia sebelum ini, skuad Bunga Raya 7’s yang diundi dalam Kumpulan A tersingkir awal selepas tewas kepada Papua New Guinea (31-5), Scotland (41-0) dan Afrika Selatan (43-0).