Diskaun 40 peratus bayar balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri menawarkan diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Pahang kepada peminjam sempena ulang tahun ke-40 yayasan itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, diskaun itu akan diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan bayaran secara penuh ke atas baki pinjaman termasuk baki caj-caj lain bermula 1 Ogos hingga 31 Disember tahun ini.

Menurutnya, langkah itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu para peminjam menyelesaikan baki pinjaman.

"Melalui pembayaran semua pinjaman itu, lebih ramai lagi anak Pahang berpeluang membuat pinjaman bagi mendapatkan akses pendidikan yang sempurna ke peringkat lebih tinggi.

"Langkah ini juga dilaksanakan bagi membantu sebahagian besar rakyat termasuk peminjam-peminjam yang terkesan akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu selain peningkatan kos sara hidup ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, para peminjam diharap memanfaatkan tawaran itu sebaik mungkin dan seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik serta bebas daripada bebanan hutang.

Beliau berkata, tahun lalu Yayasan Pahang menawarkan pemberian diskaun 20 peratus dan sepanjang tempoh tersebut, seramai 608 peminjam telah menyelesaikan baki hutang dengan implikasi rebat sebanyak RM719,259 dan pengurangan pinjaman sebanyak RM3.6 juta.

"Sejak penubuhan Yayasan Pahang pada 1982 hingga tahun lalu, sebanyak RM1.4 bilion telah disediakan untuk pinjaman pendidikan bagi manfaat 1,684,000 penerima di seluruh Pahang," katanya.