‘Rumah generasi kedua lambat siap mungkin masalah kontraktor’

Mustapha bercakap ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Mustapha bercakap ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan masalah perumahan generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan diselesaikan dengan segera.

Beliau tidak menolak kemungkinan masalah ini berpunca daripada kontraktor yang tidak mampu menyiapkan projek perumahan tersebut.

“Kita faham ini satu isu yang besar, tetapi langkah-langkah sedang diambil oleh Felda untuk mengatasi masalah ini.

“Ada masalah-masalah berkaitan kontraktor. Kontraktor mungkin tidak mampu atau kita akan minta Pengerusi Felda (Tan Sri Idris Jusoh) untuk menangani perkara ini,” katanya sewaktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang bertanyakan mengenai projek perumahan generasi kedua Felda.

Mohd Salim sebelum itu berkata, Mustapa berjanji agar projek perumahan terbengkalai di kawasannya yang melibatkan hampir 1,400 unit disiapkan.

“Berkaitan perumahan di Jempol ini, Palong 7, 8, 14,15,16 di mana menteri telah berjanji untuk menyiapkan.

“Tetapi sekarang ini hanya berlaku perlahan. Jadi di manakah kesilapan kerana anak muda masih menantinya,” katanya.