Pemandu lori terima upah RM1,000 bawa ketum

Muhammad Zaki menunjukkan daun ketum yang disembunyikan di belakang kotak gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Muhammad Zaki menunjukkan daun ketum yang disembunyikan di belakang kotak gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Percubaan kali kedua seorang pemandu lori membawa ketum gagal selepas ditahan dalam Ops Tapis ketika sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli kira-kira jam 10 pagi Selasa.

Lelaki berusia 39 tahun itu dikatakan menerima upah sebanyak RM1,000 untuk membawa ketum dari Kedah ke Kelantan yang dipercayai akan diedarkan untuk pasaran tempatan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika pemeriksaan, polis mendapati belakang lori terbabit disusun kotak gandum bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pemeriksaan lanjut, terdapat bungkusan beg plastik berwarna hitam dan di dalamya daun hijau dipercayai daun ketum seberat 2,200 kilogram.

"Nilai keseluruhan rampasan ialah RM22,000 yang boleh digunakan sehingga 2,000 orang," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis dan Kontinjen Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, ujian urin mendapati lelaki berkenaan negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Jeli pada Rabu," katanya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Pahang merampas sebanyak 900,000 rokok putih bernilai RM940,500 dalam satu rondaan di Wakaf Bharu kira-kira jam 3.30 pagi Selasa.

Muhamad Zaki berkata, polis turut merampas kenderaan yang digunakan dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.64 juta termasuk jumlah cukai.

Menurut beliau, ketika rondaan, sepasukan polis PGA terserempak dengan dua kereta yang dipandu laju menuju ke Kampung Pasir Pekan Tengah, Wakaf Bharu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis kemudian bertindak masuk ke kawasan kampung dan cuba mengesan kenderaan tersebut.

"Semasa cuba mencari di kawasan tebing sungai, polis ternampak kelibat kenderaan bergerak laju dalam jarak 200 hingga 300 meter.

"Ketika menghampiri kenderaan itu, sebuah kereta Perodua Kenari berwarna merah diparkir di kawasan itu tetapi pemandu gagal ditemui dan hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemui rokok putih," katanya