Maidam lulus RM23 juta bantu kos sara hidup asnaf

Ahmad Azrin (tengah) menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di Hulu Terengganu pada Rabu.
Ahmad Azrin (tengah) menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di Hulu Terengganu pada Rabu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan bantuan sebanyak RM23 juta untuk diagihkan kepada hampir 25,000 asnaf, fakir dan miskin di negeri ini bermula bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, melalui bantuan 'one-off' itu, setiap keluarga isi rumah (KIR) asnaf akan menerima antara RM800 hingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan keluarga.

Menurut beliau, Maidam bersetuju mengagihkan bantuan baharu bagi membantu meringankan beban asnaf yang terkesan dengan peningkatan kadar inflasi kerana kemelesetan ekonomi dunia.

"Sebelum ini, bantuan paling banyak pernah diberi RM700 sahaja, jumlah bantuan ini akan kita naikkan kerana peningkatan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini.

"Berikutan kesan ekonomi dan inflasi juga, kita jangkakan lebih 3,000 asnaf dan fakir miskin baharu akan mendaftar dengan Maidam berbanding 21,197 orang ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada lima mangsa ribut yang berlaku pada 16 Jun lalu di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ahmad Azrin berkata, sejak Januari hingga Julai, Maidam telah mengagihkan bantuan sebanyak RM300,000 kepada mangsa yang diuji musibah ribut dan kebakaran di negeri ini.

Jelas beliau, jumlah itu tidak termasuk lebih RM100,000 bantuan yang akan diagihkan kepada mangsa ribut di daerah Besut tidak lama lagi.

"Bantuan ini bukan menggunakan duit zakat tapi dari sumber kewangan am Maidam kerana ada kalangan penerima tidak tergolong sebagai asnaf, fakir dan miskin.

"Semua mangsa ribut menerima wang tunai RM300 bagi meringankan beban mereka.

"Bagi mangsa kebakaran pula, pemilik rumah yang terbakar 100 peratus, kita berikan bantuan RM3,000 manakala terbakar 70 peratus ialah RM2,000 dan kurang dari itu kita beri RM1,000 atau RM500," katanya.