Selangor sedia RM5,000 bantuan pembiayaan pesakit kanser

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyediakan bantuan pembiayaan bagi pesakit kanser mendapatkan rawatan termasuk bagi pembedahan di bawah inisiatif program Bantuan Sihat Selangor (BSS).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerajaan negeri menyediakan had jumlah pembiayaan sebanyak RM5,000 bagi setiap kali permohonan BSS.

"Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my," katanya semasa menjawab soalan diajukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Mohd Zawawi menjawab soalan itu bagi menggantikan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud yang masih bercuti memberitahu, selaku negeri yang sentiasa mengutamakan aspek penjagaan kesihatan rakyat, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan dengan cepat dan berkualiti.

Jelas beliau, antara inisiatif itu adalah melalui program Iltizam Selangor Sihat (ISS), Skim Rawatan Jantung, Insentif Rawatan Tibi dan BSS.

"Pada tahun ini, kerajaan Selangor telah mengorak langkah ke hadapan apabila memperkenalkan Program Selangor Saring yang bertujuan untuk melakukan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi dan beberapa penyakit kanser yang terpilih seperti prostat, serviks, payu dara dan kolorektal," kata beliau.