Terengganu hantar 10 pelajar cemerlang ke Algeria

Satiful Bahri
Satiful Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar 10 pelajar cemerlang menyambung pelajaran dalam program Pengajian Islam secara percuma di dua universiti di Algeria bermula tahun ini.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tawaran tersebut diberikan kepada Terengganu oleh kerajaan Algeria melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) negara itu.

Menurut beliau, lima pelajar yang terpilih akan menuntut di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine manakala lima lagi di Universiti Algiers 1.

“Proses kemasukan pelajar dijangka bermula Septemberi nanti. Yuran pengajian 10 pelajar ini dan pelajar-pelajar lain pada tahun akan datang adalah percuma kerana ia ditanggung oleh kerajaan Algeria,” katanya di sini pada Rabu.

Satiful Bahri berkata, tawaran lima tempat di Universiti Amer Abdul Qader, Constantine diterima melalui surat diutuskan KPT, Algeria kepada Duta Besar Algeria dan dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negara Malaysia.

Katanya, baki lima tempat di Universiti Algiers 1 pula adalah melalui kunjungan kerja oleh rombongan kerajaan negeri Terengganu ke Algeria yang diketuai beliau sendiri.

“Proses bagi mendapatkan pengiktirafan Agensi Kelayan Malaysia (MQA) secara penaja akan diuruskan oleh Yayasan Terengganu,” katanya.