Kerajaan luluskan pindaan SOSMA

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berjaya meluluskan pindaan terhadap Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Pindaan itu diluluskan menerusi undi belah bahagi yang diminta oleh pembangkang.

"Sejumlah 111 ahli Parlimen setuju dan 88 ahli Parlimen menolak, sementara 21 ahli Parlimen tidak hadir," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pindaan Subseksyen 4(5) itu dibuat bagi terus berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun mulai 31 Julai depan.

Subseksyen itu antaranya menyebut: Seorang pegawai polis yang berpangkat penguasa polis atau berpangkat lebih tinggi daripada penguasa polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Ia juga bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, Subseksyen 4(3) akta sama menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.

Usul ini merupakan kali kedua dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membentangkannya buat kali pertama pada 23 Mac lalu namun ia gagal diluluskan selepas tidak mendapat jumlah undian mencukupi ketika itu.