Dua rakyat Malaysia ditahan imigresen Indonesia, disyaki pengintip

Tangkap layar laporan portal The Star pada Selasa mengenai penangkapan dua lelaki Malaysia di Nunukan, Kalimantan.
Tangkap layar laporan portal The Star pada Selasa mengenai penangkapan dua lelaki Malaysia di Nunukan, Kalimantan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua rakyat Malaysia dan seorang warga China ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki mengintip di kawasan Nunukan, utara Kalimantan republik itu.

Memetik laporan portal The Star, ketiga-tiga mereka disyaki sedang meninjau lokasi untuk membina jambatan menghubungkan Tawau (Sabah) ke Pulau Sebatik, sebahagiannya di Indonesia dan Malaysia.

Portal yang memetik laporan media Indonesia itu memaklumkan, ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan bersama tiga warga Indonesia selepas didapati memiliki gambar sensitif pangkalan tentera laut di pulau kongsi berkenaan.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan dikenal pasti sebagai seorang jurutera manakala warga China itu dilaporkan memasuki Nunukan menggunakan visa pelancong dan melintasi sempadan pada 20 Julai lalu.

Sementara itu, seorang daripada warga Indonesia yang ditahan dilaporkan mempunyai dua dokumen pengenalan diri iaitu pasport Indonesia dan kad pengenalan Malaysia.

Dalam pada itu menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai imigresen Nunukan, Saut Dompak pada 22 Julai lalu, keenam-enam lelaki yang ditahan itu didakwa sedang mengkaji kemungkinan membina jambatan dari Sebatik ke Tawau.

Saut dilaporkan berkata, bantuan daripada pejabat konsul jeneral Malaysia di Kota Pontianak (Kalimatan) telah diminta untuk mengesahkan kesahihan kad pengenalan Malaysia.

Katanya, siasatan awal menunjukkan warga Indonesia yang mempunyai dua dokumen pengenalan diri itu telah menjemput warga China dan Malaysia yang terlibat untuk melihat kawasan kemungkinan bagi membina jambatan berkenaan pada 20 Julai lalu.

Bagaimanapun hasil siasatan pegawai tentera laut Indonesia menemui gambar kawasan sensitif pos sempadan dan ibu pejabat marin di Sebatik sebelum menyerahkan kesemua lelaki terbabit kepada pegawai imigresen di Nunukan untuk siasatan lanjut pada 21 Julai.

Kesemua lelaki terbabit ditahan selama 30 hari di Pusat Tahanan Imigresen di Nunukan dan akan menghadapi pertuduhan kerana melanggar permit visa pelancong mengikut undang-undang imigresen republik itu kerana mereka sepatutnya masuk menggunakan visa perniagaan untuk tujuan yang dinyatakan.