UDA sasar kejayaan 50 tahun akan datang menerusi konsep ‘LIFE’

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melihat ruang pameran ketika hadir pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA ke-50 di Petaling Jaya malam ini. Turut hadir Noh, dan Norliza. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob melihat ruang pameran ketika hadir pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA ke-50 di Petaling Jaya malam ini. Turut hadir Noh, dan Norliza. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan untuk melakar kejayaan menerusi jenama ‘LIFE’ bagi memajukan pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan sekali gus menyumbang kepada usaha pemerkasaan usahawan bumiputera.

‘LIFE’ yang menekankan konsep Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini, akan dijadikan tonggak utama syarikat itu dalam melakar kejayaan untuk 50 tahun akan datang.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA akan terus komited memodenkan landskap pembangunan negara serta menyediakan ruang komersial yang kondusif dan kompetitif untuk melahirkan lebih ramai ‘Keluarga Usahawan’.

"Penjenamaan baharu UDA merupakan inisiatif UDA melangkah ke fasa ‘from shy to shine’. Selain itu, berlandaskan matlamat meneruskan legasi, saya bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta warga kerja UDA akan memastikan UDA lebih dikenali dan sentiasa dekat di hati.

"Saya percaya dengan adanya penjenamaan baharu UDA ini, UDA akan terus utuh menggalas peranan mewujudkan komuniti inklusif di wilayah pembangunan serta perniagaan UDA,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Ke-50, di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, UDA turut menganjurkan beberapa pertandingan yang antaranya mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50, ‘UDA 50 Amazing Race Virtual’ dan ‘UDA 50 Golden Offers’ yang dimenangi oleh Ahmad Shahrul Mohamed, 52, membawa pulang sebuah kereta Proton X50.

Ahmad Shahrul membeli produk hartanah terbaharu di Kuala Lumpur iaitu 38 Bangsar Residensi.

"Penganjuran pertandingan ini bertujuan merapatkan UDA dengan para pelanggan, rakan-rakan media serta semua pihak yang sentiasa menyokong perjuangan UDA selama ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berharap syarikat yang mencapai usia 50 tahun itu akan terus mengukuhkan lagi peranan untuk melahirkan lebih ramai keluarga usahawan.

"Selain itu, terus mengorak kejayaan dalam setiap segmen perniagaannya bergerak seiring dengan hasrat kementerian untuk melahirkan lebih ramai keluarga usahawan,” katanya. - Bernama